Ucapan Presiden

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam perjuangan kepada seluruh keluarga besar KeMUDA. Alhamdulillah keahlian KeMUDA kini telah mencecah 15,800 orang ahli diserata tanahair. Syukur ke hadrat Illahi, dengan keizinanNya dapat kita semua bersatu di bawah KeMUDA. Satu organisasi yang amat menitik beratkan perpaduan bangsa Malaiu. Seperti kata-kata tema KeMUDA - "Memantapkan Jaridiri Demi Penyatuan Bangsa".

Pemantapan Jatidiri amat penting bagi menentukan hala tuju sesuatu bangsa. Dengan jatidiri yang padu, pelbagai permasalahan dapat di atasi. Jatidiri sebagai Malaiu perlu diserapkan dan disemai bagi melahirkan sebuah bangsa yang gah di tanahairnya sendiri.

Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh kementerian, jabatan kerajaan, swasta, koperasi, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang selama ini telah membantu serta menyokong perjuangan KeMUDA.

KeMUDA bukan sekadar nama, KeMUDA bukan sekadar pertubuhan tetapi ianya sebuah wadah perjuangan bangsa.

Perjuangan yang memartabat Agama, Bangsa dan Tanahair (A Ba Ta).

Perjuangan KeMUDA bukan hanya dari satu sudut tetapi pelbagai sudut yang merangkumi jatidiri, ekonomi, sosial dan budaya.

Bukan senang untuk menyatukan bangsa kerana pelbagai ideology di setiap orang Malaiu. Tetapi perjuangan tidak boleh berhenti dan ianya perlu diteruskan demi kesinambungan generasi akan datang.

Perjuangan ini adalah satu amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

KeMUDA telah mengadakan pelbagai program dan telah merancang banyak program untuk orang Malaiu. Program KEMELAYUAN, program Ekonomi, program Kebajikan dan banyak lagi. Usaha yang dibuat bagi memastikan segala informasi-informasi daripada agensi kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat khususnya ahli KeMUDA. Melalui dasar-dasar yang telah digubal oleh kepimpinan Negara, banyak yang boleh membantu orang Malaiu. Cuma akses kepada informasi itu seringkali terhenti atau tidak sampai ke akar umbi. Oleh itu, adalah menjadi peranan KeMUDA untuk menyampaikan kepada rakyat Malaysia.

Harapan saya agar kita semua boleh berfikir dengan positif dan waras apabila menerima maklumat. Ingat dan sedarlah musuh kita sentiasa mencari peluang untuk melagakan serta menjatuhkan kita.

Jangan kita lupa kejatuhan bangsa kita lebih 500 tahun dulu atas kelemahan perpaduan kita..atas kelemahan jatidiri kita yang sanggup menggadai bangsa dan tanahair kepada pihak musuh demi kepentingan peribadi.

Jangan kita juga lupa, bangsa kita juga adalah satu bangsa yang HEBAT suatu ketika dahulu. Kitalah Pedagang yang hebat. Lebih 80 etnik berdagang di Tanah Malaiu pada waktu itu. Lebih 80 bahasa dunia dipertuturkan di situ.  Sebab itulah zaman itu digelar Zaman Kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka.

Oleh itu, ayuhlah kita bangkit semula. Membina tamadun bangsa semula. Agar bangsa kita dihormati dan disegani diseluruh dunia. Usahlah kita dihujani dengan fitnah yang boleh meruntuhkan bangsa. Kita Malaiu..kita juga Islam. Islam itu indah dan Islam itu mudah tetapi jangan dipermudahkannya.

Akhir kata, salam perjuangan kepada semua. Semoga KeMUDA menjadi satu platform untuk melaksanakan wadah perjuangan bangsa demi kesejahteraan Agama Bangsa dan Tanahair kita..Malaysia.

Allahuakhbar ! Allahuakhbar ! Allahubakhbar! 

 

Sekian, terima kasih.

Noor Azhar bin Hj Mohamad

Presiden KeMUDA Malaysia